Isnin, 7 Disember 2009

rokok gulung kertas surat khabar

masih ingat. zaman dulu-dulu. waktu mula-mula belajar nak merokok. gulung-gulung kertas surat khabar dan cucuh api. terbatuk-batuk pada mulanya kerana tidak biasa.

saya pernah cuba. tapi saya tidak melanjutkan aktiviti itu menjadi perokok tegar. entahlah. saya rasa rokok bukan benda sedap. macam sesetengah orang tidak suka makanan itu. tidak suka makanan ini. tekak saya tak dapat terima rokok.

*

"rokok?" tanya janet.
"saya tak merokok," jawab saya.
"baiknya awak," kata janet.
"habis. awak ingat orang yang hisap rokok jahat?" tanya saya kembali.

janet bungkam.

*
"rokok?" tanya encik tarmizi.
"saya tak merokok," jawab saya.
"merokoklah, baru jantan," kata encik tarmizi.

saya tersengih.

*
namun, saya suka item-item yang ada kaitan dengan rokok. begitupun, pengumpul yang berbajet ciput seperti saya tidaklah mendapat koleksi yang hebat-hebat sangat.

kadang kala saya tebalkan muka minta dari tuan punya kedai tempat saya bersarapan. jika bernasib baik - saya dapat percuma walaupun saya menawarkan harga tertentu mengikut kemampuan saya.

*
bekas habuk rokok ini. saya beli. harganya berpatutan dengan pengumpul berbajet ciput. seperti saya.

Rabu, 18 November 2009

kembali berkarat

lama pasar karat ini terbiar berkarat. saya tidak ke mana-mana - cuma sedikit berhalangan untuk mengambil gambar.


sehingga hari ini sebenarnya, telah tiga bulan kaki saya sakit. jatuh tangga. tulang kaki saya retak. bersimen. baru sebulan dibuka.


lama tidak beroperasi di pasar karat, saya menjual kata di pasar kata. kepada anda yang tidak biasa ke sana, saya tampalkan di dinding pasar karat ini sebuah sajak khas untuk anda.


penggemar antik
:buat peminat sekolah lama di pasar karat



dia penggemar barangan antik


dia gemar jam antik
dia gemar radio antik
dia gemar kereta antik
dia gemar basikal antik
dia gemar kamera antik
dia gemar perabot antik


dia gemar semua yang antik


cuma satu yang antik
dia tak gemar
dia tak gemar isteri antik


Alhamdulillah. saya semakin sembuh. insya-Allah saya akan kembali "berkarat" di sini.

Rabu, 29 Julai 2009

nadra: buku sejarah yang dimakan anai-anai

pada hari saya mengetahui berita pemergian natrah, saya mencari buku ini. sayangnya, telah dimakan anai-anai.


nadra: buku sejarah yang dimakan anai-anai

buku tragedi nadra
di lemari sejarah itu
- tidak apa-apa pada luarannya

maklumlah, yang berlaku
hampir setengah abad dahulu
- siapa yang peduli

kalau pedulipun - hanya kepedulian
yang begitu - yang begitu sahaja
bukanlah apa-apa
hanya catatan-catatan
hanya tarikh-tarikh
hanya sejarah-sejarah

hari pecah berita nadra pergi
aku hampiri lemari sejarah itu
kutarik buku tragedi nadra
di lemari sejarah itu
- tidak apa-apa pada luarannya
maklumlah, yang berlaku
hampir setengah abad dahulu
- siapa yang peduli

rupa-rupanya:
buku sejarah yang terbiar itu
dimakan anai-anai isinya
tragedi nadra tak dapat kubaca

(kalaupun dapat kubaca - hanya
mungkin - mengunyah isinya
menelannya tanpa hadam
)

buku yang kupegang
tidak apa-apa pada luarannya
- namun muka dalamnya telah hilang
hilang bersama-sama perginya nadra
menjadi sejarah dimakan anai-anai

dan kala ini
(kala muka juga agaknya)
nadra-nadra yang lain muncul
menjadi sejarah baharu
yang mungkin menunggu anai-anai juga
agaknya

rimanilzah
semanggol
29 julai '09

Sabtu, 18 Julai 2009

happy

saya ikut sombongan e-sastera ke jakarta. malam pertama kami menyaksikan persembahan di reboan pasar malam. ada banyak acara malam itu. antaranya baca cerpen. hah, baca cerpen! tentulah membosankan - tapi tidak - jika yang membacanya happy salma.

tapi bukan itu yang hendak saya khabarkan kepada anda. bukan happy yang itu.

ini happy yang lain. happy yang pernah saya ceritakan dalam entri yang lalu. tentang dewan happy yang terletak di bagan serai tapi tak tahu di mana. tiketnya pernah saya tawarkan kepada anda. tentu masih ingat.
rupanya happy ada di tempat lain. ditemukan di sungai besar, selangor oleh rakan blog, fikri old skool. menurut fikri dalam e-melnya kepada saya:

orang lama di situ mengatakan bahawa pada masa dahulu, di pekan-pekan kecil seperti sungai besar, sabak bernam, teluk intan dan sewaktu dengannya, di pawagam happy ini mereka menonton filem.
saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada fikri atas kiriman gambar ini.

Selasa, 14 Julai 2009

tinta kenangan

yang mana pernah anda guna? atau, tak suka pen dakwat basah?

sajak kepada kuli tinta

sajak ini bukanlah sajak
tanpa bunga tanpa parfum

sajak ini bukan pula tentang hidup dan mati
tanpa kamboja tanpa menyan

sajak ini hanya sajak tentang hati
tanpa ampela tanpa empedu

sajak ini berbeda dengan sajak ku sebelumnya
tanpa basa tanpa basi

sajak ini hanya sajak tuna hidup
tanpa bodoh tanpa arti

sajak ini kubuat untukmu
tanpa buaian tanpa gombal

sajak ini kubuat untuk kuli tinta
tanpa kosong tanpa marah

cuplikan daripada gudang tulisan

Selasa, 7 Julai 2009

pemburu

"aku hanya pemburu. sebagai pemburu aku hanya memburu diriku sendiri."

- ali setan.

sekarang dah masuk bulan julai. saya sedang diburu.

Isnin, 22 Jun 2009

surat berantai yang merantai minda dan jiwa kita

masih ingat zaman surat berantai - kita dapat satu surat yang cerita itu ini - kononnya ada orang mimpikan rasulullah. kemudian, kita diminta sebarkan surat itu kepada sepuluh orang. kononnya kalau tak sebar akan ditimpa bala.

saya tak layan - saya tak percaya.

sekarang zaman sms pula. dapat sms yang lebih kurang dengan surat berantai. minta kita foward kepada sepuluh orang. kononnya kalau tak foward akan ditimpa bala.

saya tak layan - saya tak percaya. kalau saya foward yang untung maxis. bukan saya.

ada satu lagi - zaman surat berantai juga. yang ini lain pula. kita dapat satu surat yang tulis bla bla bla bla. tapi akhir sekali akan tulis:

Sila buat bayaran anda sebanyak $1.00 sahaja kepada peserta No. 1 yang disenaraikan di bawah ini dan sila potong No. 1 itu dan susunkan semula angka tersebut dari No. 1 ke No. 5. No. 5 adalah untuk nama anda.

saya layan - tapi bukanlah saya percaya. dan, saya tidak kaya-kaya kerana surat berantai itu. malahan tak dapat satu balasan pun. hahaha. padan muka saya.


yang di bawah ini bukan surat-surat berantai - cuma surat yang saya terima dulu-dulu.

1989 - kawan dari sabah

1989 - kawan dari perlis


2001 - sahabat m.nasir1986 - malayan banking berhad

surat
1984- kppms
.
.
.
jangan bimbang. alamat yang saya minta dalam entri yang lalu tiada kaitan dengan penghantaran surat berantai.

Khamis, 18 Jun 2009

tiket wayang percuma

tiket wayang di atas saya dapat percuma daripada seorang apek (penjual pinggan mangkuk klasik) di bagan serai. satu buku untuk kelas satu berharga $1.40 dan satu buku untuk kelas dua berharga $1.00.

jadi - ada banyak - berkeping-keping - cukup untuk satu panggung agaknya.

sekarang - saya hendak beri tiket wayang itu secara PERCUMA kepada sesiapa sahaja yang berminat. e-mel saja alamat kepada rimanilzah (at) yahoo.com. taip alamat itu di ruangan "ulasan" pun boleh saja.

berminat? silakan.

jangan pula cari dewan happy di bagan serai itu untuk menonton wayang secara percuma.

saya sendiri tidak tahu di mana dewan happy itu. saya ada bertanya kepada beberapa orang lama di sini (semanggol) tetapi mereka tidak pasti. mungkin abang azlan tokeh jam kita boleh membantu?

mungkin - tiket wayang itu digunakan dalam era 50-an atau 60-an. jika 70-an atau 80-an tentu ada rakan-rakan saya di sini yang tahu.

Sabtu, 13 Jun 2009

rabe rubber

(i)
deaf angle tanya:
ada lagi ko ni smua eh..getah pemadam yang gambo2 bendera2 negara tu ko ada? hehe

(Mac 26, 2009)

(ii)
sebelum berpindah ke kuala lumpur pada tahun 1977, saya bersekolah di sekolah kebangsaan pulau tiga kiri, kampung gajah, perak. dalam kelas itu ada seorang budak perempuan tiga suku, namanya minah.

"cheeeeeeeeeegu, mail nak rubber keme," jerit minah.
"mail, kecik-kecik kamu dah pandai nak meraba," jerkah cikgu ahmad.

(suatu hari, 1974)


Selasa, 9 Jun 2009

kaki tiga

opah kalau sakit kepala, telan serbuk kaki tiga sebungkus. lega. ada orang kata makan serbuk ini boleh ketagih. serbuk ini ada dijual lagi - sekarang.
ini botol ubat batuk cap kaki tiga. rasanya tak dijual lagi.

hah, botol yang ini ingat! atau, ingat-ingat lupa. sekarang dalam botol plastik. air cap badak. air ini sebenarnya dibuat daripada apa? sumbu badak?

Selasa, 2 Jun 2009

buku sejarah yang menjadi sejarah

jika anda masuk darjah 1 di antara tahun 1974 dengan tahun 1981, anda tentu menggunakan buku sejarah yang telah menjadi sejarah ini.

masihkah ingat?

jika anda mula masuk tahun 1 tahun 1982 dan seterusnya (darjah dah tak guna lagi) buku yang telah menjadi sejarah ini bukanlah buku sejarah anda. anda telah gunakan buku alam dan manusia. kemudiannya, kajian tempatan.


masih ingat tokoh-tokoh sejarah yang anda pelajari? yang minat tentulah ingat.
tak ingat dan tak minat macam manapun - tentu ingat vasco da gama dalam buku sejarah darjah 6 ini.
juga. tentulah ingat panglima portugis yang anda sebut di-al-bu-ka-ka-ki ini. dan, yang lagi satu yang namanya macam kuih lopis itu.

sejarah dulu-dulu - nostalgia sungguh. saya (darjah 4 - 6) sekolah di skp (sek. keb. petaling) sama dengan en. kamil, seorang kolektor coca-cola.

Selasa, 26 Mei 2009

kuala lumpur dulu-dulu


di sebelah bangunan central market ada bangunan yang dinamakan central square (sekarang dikenali sebagai annexe central market). di situ dulu-dulu ada sebuah ciniplex (odeon ciniplex). rasanya itulah panggung pertama dengan berkonsepkan ciniplex di kuala lumpur. sekarang tidak beroperasi lagi.


coliseum satu-satunya panggung wayang tradisional yang masih wujud sehingga kini. panggung-panggung lain seperti odeon, federal, capitol, dan rex sudah ditutup. lama sebelum itu, lido di jalan brickfield (sekarang jalan tun sambanthan) yang selalu menayangkan filem hindustan terlebih dahulu telah ditutup.

amcorp mall - syurga peminat barangan vintage, rare, dan antik pada hujung minggu. dulu-dulu ada ciniplex di tingkat 3. dah ditutup juga sekarang. dulu-dulu - kalau fikiran buntu dan tak tahu nak buat apa-apa - habis waktu persekolahan saya ke sini. menonton apa-apa saja cerita.

itu dulu-dulu. waktu hidup gaya urban.

sekarang ada lagikah tiket wayang ditulis dengan pensel warna?

Jumaat, 24 April 2009

big blue marble





tahun 80-an di tv ada rancangan "big blue marble". saya dan abang saya suka tonton rancangan ini. bahasa inggerisnya mudah. di akhir rancangan ada segmen pen-pall. alamat sahabat dari serata dunia dipaparkan.

abang saya ambil satu alamat - dari jamaica. dia tulis surat. nak tulis surat ke luar negara tak boleh guna letter pad biasa - berat - nanti setem pos kena bayar lebih. jadi, abang saya gunakan air mail letter pad - lebih ringan.

masa itu pengetahuan geografi saya sangat teruk. pada saya - semua orang luar negara cun-cun belaka. saya bayangkan pen-pall abang saya itu macam farrah fawcett dalam "charlie's angels" siri tv yang popular tahun 80-an.

hm, rupanya tidak! sahabat pena abang saya itu berkulit hitam.

lama setelah dewasa saya terfikir. mengapakah kita perlu menghina seseorang kerana warna kulit atau keturunannya? bukankah dunia ini dicipta untuk dikongsi oleh semua orang? tak kiralah putih, hitam, atau kelabu asap.

"big blue marble" sendiri sebuah siri tv tentang persefahaman sejagat. begitupun, masyarakat di sekitar saya pada masa kecil memberikan persepsi bahawa si hitam itu jelek.


Selasa, 14 April 2009

lima sen sahaja








kalau anda ada lima sen sekarang. apakah yang dapat anda beli? tiada apa - bukan? selain melunasi sen-sen bil air atau elektrik.

dulu - anda boleh beli mancis. apabila disuruh oleh emak - masihkah anda ingat mancis cap apa yang anda beli?

paling nostalgia - kingkong. cap ikan dan burung layang-layang adalah antara yang menggamit ingatan.

kalau cap cabai, duit syiling, bintang dan flying man - masih ada dijual pada masa ini.